Sunday, September 27, 2009

Bekerja Sambil Belajar

Dunia serba moden dan mencabar kini tidak dinafikan antara faktor utama menyaksikan minat tinggi masyarakat kita khasnya wanita untuk meneruskan pelajaran walaupun dalam masa yang sama sudah bekerja dan berumahtangga.
Tanggungjawab besar harus dipikul sebagai seorang isteri, ibu, pekerja dan pelajar. Hari ini, peluang pekerjaan bukan hak mutlak lelaki, siapa yang terbaik dengan kelulusan tinggi berpeluang menjawat jawatan yang diingini.
Banyak faktor mendorong perubahan gaya hidup wanita moden ini. Walaupun ia positif namun banyak perkara perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
Anas r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Tuntutlah ilmu walau ke negeri China, sebab menuntut ilmu agama itu wajib ke atas setiap Muslim. Sesungguhnya malaikat menghamparkan sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu kerana redha atau senang dengan apa yang dituntut. (Riwayat Ibn Abdul Darr).
Bukan mudah bekerja sambil belajar apatah lagi dibebani dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Wanita bekerja sambil belajar perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal jika mahu memastikan segalanya berjalan lancar.
Hakikatnya, tiada halangan untuk wanita melakukan tanggungjawab serentak. Apa yang perlu diingatkan ialah segalanya biarlah tidak mengganggu atau menghalang firtah wanita. Bagi wanita bujang mungkin tidak banyak cabaran yang perlu ditempuhi melainkan pandai menjaga maruah diri dan keluarga. Namun bagi yang sudah berumahtangga setiap keputusan yang diambil harus mendapat keizinan daripada suami.
Suami merupakan ketua keluarga. Tanggungjawab mencari nafkah terletak di bahunya namun dewasa ini, mereka tidak keberatan membenarkan isteri bekerja. Mungkin ianya mampu meringankan beban perbelanjaan keluarga lebih-lebih lagi jika hidup di bandar-bandar besar. Jika ada pula niat si isteri hendak melanjutkan pelajaran, perbincangan dua hala amat penting di sini.
Kerukunan rumahtangga lebih penting daripada segala-segalanya. Kedua-dua pihak perlu memahami antara satu sama lain, toleransi dan bekerjasama. Isteri harus tahu jenis pekerjaan yang bersesuaian menurut masa dan keupayaan. Jika mahu melanjutkan pelajaran sekalipun pastikan jadual bersama keluarga tidak terjejas. Apabila ini berlaku, pasangan perlu sanggup berkorban.
Bekerja sambil belajar memerlukan komitmen tinggi agar produktiviti, mutu kerja dan pelajaran tidak terjejas. Bukan sahaja pekerjaan tersebut biar praktikal dengan tanggungjawabnya sebagai isteri malah juga dengan masa yang diperuntukkan untuk semua perkara. Masa bersama keluarga akan terhad tetapi jangan jadikannya penyebab hubungan terjejas. Jika diikutkan kerja separuh masa lebih praktikal namun tidak banyak faedah yang diperolehi. Wanita boleh memilih kerja pejabat dengan waktu yang tetap dan melanjutkan pelajaran pada sebelah malam atau di hujung minggu. Jika tidak sanggup, lebih baik jangan melakukan kedua-dua perkara ini serentak, takut tertekan. Walaupun moden, masyarakat masih berpegang kepada pandangan tradisi bahawa wanita tidak harus lupa dengan tugasnya sebagai isteri memenuhi keperluan rumahtangga.
Pelbagai perkara positif dan negatif dapat kita lihat apabila kedua-dua perkara ini dilakukan untuk diri individu terbabit, keluarga dan persekitaran. Kebanyakan alasan wanita bekerja sambil belajar ialah untuk meningkatkan taraf hidup. Bagi mereka lagi tinggi pendidikan, peluang mendapatkan pekerjaan yang lebih baik juga terbuka luas. Memang tidak dapat dinafikan, ramai di kalangan wanita bekerjaya profesional mendapat pendidikan tinggi dan pastinya ia seiring dengan pengorbanan yang dibuat.
Selain itu, bekerja sambil belajar membuka minda untuk berfikiran terbuka. Mereka akan terdedah dengan pelbagai cerita, berita dan ilmu sepanjang bekerja dan pengajian. Sokongan dan pergaulan lebih luas bersama rakan-rakan sepejabat dan sekuliah secara tidak langsung menjana minda untuk terus berfikir dan berusaha. Golongan ini juga lebih berani menyuarakan pendapat kerana dapat memberikan idea bernas hasil daripada ilmu yang diperolehi.
Bagaimanapun dari sudut kontranya, golongan ini terpaksa berhadapan dengan tanggungjawab berat dan banyak. Wanita masih lagi mempunyai perasaan bersalah atas kegagalan mereka malaksanakan tanggungjawab dalam rumahtangga dengan sempurna. Contoh paling mudah ialah apabila masa bersama keluarga berkurangan. Beban kerja di pejabat, rumah dan tugasan belajar kadangkala cukup menyiksakan. Disinilah timbulnya tekanan dan membahayakan kesihatan jika kurang perhatian.
Mengharapkan bantuan pembantu rumah bukan penyelesai masalah. Hubungan antara isteri dan suami atau ibu dan anak masih di bawah tanggungjawab wanita. Kesibukan ini hanya akan mengganggu pembesaran anak-anak dalam lingkungan usia satu hingga lima tahun memerlukan perhatian yang lebih daripada ibunya. Ketika ini anak-anak sedang membentuk personaliti dan akan menjadikan orang yang terdekat dengannya sebagai ikutan. Di sinilah keutamaan perlu dikira. Walaupun sukar namun pilihan perlu dilakukan. Matlamat asal perlu diingat bahawa sekiranya keluarga menjadi keutamaan keperluan untuk melanjutkan pelajaran perlu ditangguhkan sementara.