Showing posts with label Hadis dan Falsafah. Show all posts
Showing posts with label Hadis dan Falsafah. Show all posts

Monday, April 19, 2010

Sederhana Dalam Mengambil Makanan

Islam adalah agama yang mementingkan kesederhanaan dalam setiap aktiviti harian. Ini termasuklah menganjurkan pengambilan makanan dan minuman serta mengikut tertibnya. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran,
"Makan dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan". (Surah Al-A'raf : Ayat 31)

Rasullullah s.a.w. juga turut menekankan pentingnya pengambilan makanan secara sederhana. Hakikatnya perut diumpamakan sebagai sarang penyakit. Pengambilan makanan secara betul dan berhati-hati mampu mengelakkan kita daripada diserang penyakit-penyakit tertentu. Membatasi pengambilan makanan dapat memberi waktu untuk tubuh dan akal berehat.

Rasullullah s.a.w. bersabda :
"Tidak ada satu tempat pun yang diisi oleh anak Adam lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah baginya beberapa suap untuk menguatkan tulang belakangnya supaya dapat berdiri tegak. Apabila dia tidak dapat menghindari, hendaklah sepertiga makanan sahaja, sepertiga lagi untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya". (Hadis riwayat Tarmizi, Ibn Majah dan Ibn Hibban)

Saturday, November 28, 2009

Pahala bagi setiap Niat Baik

Allah SWT menjanjikan pahala besar buat hambaNya yang mempunyai niat baik dalam setiap aktiviti hariannya. Tidak kira samada dia berniat untuk kebaikan dirinya ataupun orang sekelilingnya. Bagi muslimah sungguhpun dia hanya berniat dan berazam untuk menjadi muslimah yang solehah atau ingin menjaga kesihatan diri atau mengambil makanan yang bak untuk dirinya setiap satu akan diberi ganjaran.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah bersabda:
Allah berfirman : "Apabila hambaKu bermaksud hendak mengerjakan sesuatu kesalahan, jangan kamu tuliskan sebelum dikerjakannya dan kalau dikerjakannya tuliskanlah sebanyak kesalahannya. Tetapi kalau tidak jadi dikerjakannya kerana mengingati Aku, tuliskan untuk orang itu satu kebaikan. Kalau dia bermaksud hendak melakukan kebaikan, dan belum dikerjakannya, tuliskanlah untuk orang itu suatu kebaikan. Tetapi jika sampai dikerjakannya, tuliskanlah pahalanya sepuluh kali ganda, sampai tujuh ratus kali."
(Hadis riwayat Bukhari)

Hadis ini jelas membayangkan bahawa Allah Maha pemurah dan penyayang. Tidak kira apa yang akan dilakukan oleh hambaNya Dia tetap mahukan yang terbaik untuk mereka.

Saturday, November 21, 2009

Bekerja di pejabat

Salah satu pekerjaan yang sesuai untuk dilakukan oleh muslimah tidak kira bujang atau berkahwin ialah bekerja di pejabat. Sama ada bekerja di pejabat kerajaan atau swasta, Islam menuntut umatnya bekerja dengan bersungguh-sungguh demi mendapatkan rezeki halal.

Daripada Abu Dzar r.a. katanya, bahawa saya pernah memohon kepada Rasulullah s.a.w. kataku: Hai Rasulullah! Angkatlah aku bekerja dalam jabatan (pejabat).

Lalu Rasullulah menepuk belakangnya, kemudian berkata :
"Hai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau ini lemah dan ini perkara amanat, dan nanti di hari kiamat ia akan menghinakan dan mendukacitakan, kecuali orang yang dapat menjalankannya dengan penuh kebenaran serta melaksanakan tugas yang dipikulkan ke atas tengkuknya".

(Hadis riwayat Muslim)

Pangkat dan jawatan dalam pejabat adalah tanggungjawab. Seharusnya ia dipikul dengan penuh tanggungjawab. Tiada perasaan riak dan takbur timbul daripadanya.

Thursday, November 19, 2009

Berhias dan bersolek bagi wanita solehah

Tidak dinafikan bahawa wanita suka berhias atau bersolek. Ia merupakan fitrah manusia. Islam menganjurkan wanita memakai pakaian yang indah, berhias kemas dan memakai wangi-wangian yang sesuai namun haruslah mengikut garis panduan yang dibenarkan bagi mengelak fitnah. Berhias atau bersolek diharuskan ke atas wanita solehah untuk tatapan suaminya sahaja dan bukan untuk orang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
Dari Ayub r.a. berkata, bersabda Rasulullah s.a.w.:
"Rasa malu, suka dengan wangi-wangian atau harum-haruman, bersiwak dan nikah adalah sunah para Rasul." (Hadis riwayat Tarmizi)

Dari Abu Musa Al-Asy'ari r.a. berkata, bersabda Rasulullah s.a.w.:
"Dihalalkan emas dan sutera bagi kaum wanita dan umatku dan hal itu haram bagi kaum lelaki". (Hadis riwayat Tarmizi dan An-Nisa'i)