Saturday, November 28, 2009

Pahala bagi setiap Niat Baik

Allah SWT menjanjikan pahala besar buat hambaNya yang mempunyai niat baik dalam setiap aktiviti hariannya. Tidak kira samada dia berniat untuk kebaikan dirinya ataupun orang sekelilingnya. Bagi muslimah sungguhpun dia hanya berniat dan berazam untuk menjadi muslimah yang solehah atau ingin menjaga kesihatan diri atau mengambil makanan yang bak untuk dirinya setiap satu akan diberi ganjaran.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah bersabda:
Allah berfirman : "Apabila hambaKu bermaksud hendak mengerjakan sesuatu kesalahan, jangan kamu tuliskan sebelum dikerjakannya dan kalau dikerjakannya tuliskanlah sebanyak kesalahannya. Tetapi kalau tidak jadi dikerjakannya kerana mengingati Aku, tuliskan untuk orang itu satu kebaikan. Kalau dia bermaksud hendak melakukan kebaikan, dan belum dikerjakannya, tuliskanlah untuk orang itu suatu kebaikan. Tetapi jika sampai dikerjakannya, tuliskanlah pahalanya sepuluh kali ganda, sampai tujuh ratus kali."
(Hadis riwayat Bukhari)

Hadis ini jelas membayangkan bahawa Allah Maha pemurah dan penyayang. Tidak kira apa yang akan dilakukan oleh hambaNya Dia tetap mahukan yang terbaik untuk mereka.

Syarat Muslimah Bekerja Di Luar Rumah

Peningkatan taraf hidup memaksa wanita bekerja bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga. Apabila ini berlaku, wanita seharusnya melihat beberapa perkara sebagai panduan bagi menjaga diri.

"Katakan kepada para wanita yang beriman: Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kehormatannya (kemaluan) mereka; dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya, dan hendaklah mereka menutupkan tudungnya ke dadanya.." (Surah An-Nur, ayat 31)

9 Larangan Kepada Isteri Bekerja

1) Membawa pekerjaan ke rumah sehingga bercampur aduk dengan tugas melayan suami dan rumahtangga hingga menyebabkan suami berasa bosan.

2) Sikap membezakan suami dengan teman sekerja (perihal kaum lelaki sehingga suami tersinggung)

3) Melayani lelaki lain melebihi suami sendiri semasa di dalam perjalanan atau di pejabat.

4) Turut serta di dalam kegiatan berunsur maksiat seperti menyertai kumpulan muzik dan berbual-bual mengenai perkara berunsurkan nafsu.

5) Sombong dengan pangkat dan bangga dengan kedudukan sehingga menyebabkan suami rasa terpinggir. Ego yang memusnahkan kemesraan.

6) Kedekut untuk membantu suami dengan alasan semua tanggungjawab nafkah diwajibkan ke atas suami sahaja.

7) Mengabaikan peraturan agama

8) Tidak mengambil berat dalam mendidik anak-anak kerana alasan bekerja seperti tidak mahu menyusukan anak dan lain-lain. Tugas itu diberikan kepada pengasuh menyebabkan suami dan anak lebih menyayangi dan rapat dengan pengasuh.

9) Tidak dapat melayan ibu bapa suami kerana alasan kerja.

Bekerja, anda perlu...

1) Pastikan anda mendapat keizinan ibu bapa atau suami sebelum berhasrat untuk bekerja. Pekerjaan itu haruslah halal di sisi agama agar pendapatan yang diperolehi mendapat keberkatan Allah SWT.

2) Tidak bercampur dengan kaum lelaki atau bukan muhrim kecuali atas urusan kerja bagi mengelakkan difitnah

3) Tidak bersolek berlebihan dan memperlihatkan perhiasan yang dapat mengundang fitnah dan sifat sombong.

4) Kurangkan pemakaian wangi-wangian kerana ia akan membangkitkan berahi seseorang

5) Menutup aurat sebagaimana yang diamanahkan.
Perkara Yang Baik Apabila Isteri Keluar Bekerja

1) Isteri mungkin sentiasa menjaga kekemasan diri kerana dalam persekitaran tempat kerja.

2) Pendapatan seisi keluarga bertambah dan boleh membahagiakan rumahtangga

3) Mendapat pandangan dan pengetahuan yang luas dalam memperbaiki urusan agama seperti mendengar ceramah di tempat kerja atau di jabatan.

4) Bijak mengatur masa dan membahagikan masa untuk mematuhi keperluan rumahtangga dan tempat kerja

5) Bersikap pro aktif dan berpandangan jauh serta mampu berdikari yang diharuskan oleh agama.

6) Dapat berbelanja dengan selesa untuk kepentingan diri di luar daripada tanggungjawab suami seperti berpakaian mahal dan memberi keperluan diri sendiri dengan wang sendiri.

7) Dapat mengemas atau menghias rumah mengikut kemampuan dalam urusan memperindahkan kebahagiaan rumahtangga.

8) Ramai kawan yang boleh memberi bantuan buah fikiran dan pertolongan pada waktu-waktu tertentu.

9) Menimbulkan banyak ilham untuk kelancaran pergaulan dengan suami dan anak-anak serta keluarga terdekat.

10) Dapat membantu keluarga serta sahabat dalam bidang yang berkaitan dengan kerjayanya.

11) Menaikkan nama atau taraf suami dalam keadaan tertentu

12) Menjamin keselesaan di hari tua dengan adanya simpanan terkumpul ke dua-dua pihak suami dan isteri.

Menghadapi Ketua Cerewet

Berhadapan ketua yang cerewet tidak bererti petaka buat anda. Walaupun ramai yang berkata sikapnya yang cerewet itu boleh membuatkan suasana bekerja tidak selesa namun tidak dinafikan ia juga membuatkan unsur positif bagi karier dan perkembangan diri.

Tahukah anda ketika seorang ketua bersikap cerewet sebenarnya bukan hanya dia sahaja yang mempunyai kuasa, anda juga! Oleh itu fahami kecerewetan ketua dan diri anda sendiri sehingga anda berjaya mengatasi suasana yang tidak selesa itu.

Apakah ketua yang suka marah-marah, boleh dilabelkan sebagai cerewet?
Ya! Marah-marah adalah satu ekspresi dan reaksi orang yang bersifat keras dan pemarah. Ketua yang cerewet tidak dapat lari dari sikap tidak sabar, serius dan jarang tersenyum. Mereka selalu meletakkan dirinya sebagai sentiasa betul dan anda yang salah!

Apakah yang mendorong mereka bersikap cerewet?
Ada beberapa karektor cerewet seorang ketua.
1) Ketua yang cerewet percaya bahawa pendekatan ala tentera merupakan pendekatan yang paling baik untuk memotivasikan orang bawahan
2) Senang menggunakan kemarahan sebagai cara berkomunikasi dengan orang bawahan. Kecerewetannya hanya kerana dia bukan orang yang mampu berbicara dengan manis.
3) Ketua cerewet juga sifat zahirnya seorang yang angkuh, ego, keras dan bersikap feudal.

Keinginan mengawal orang lain
Ketua yang cerewet ada keinginan untuk mengawal orang lain. Mereka rasa cemas jika dikalahkan oleh anak buahnya.

Kadar kemarahan berbeza
Bila ditinjau dari segi kadarnya, kemarahan setiap orang berbeza-beza. Ada yang mudah marah atau sebaliknya. Ketua A dengan mudah melepaskan kemarahannya tatkala melihat anda melakukan kesalahan walaupun kecil tetapi ketua B akan marah setelah melihat anda melakukan kesalahan sehingga empat kali. Itulah tahap yang membezakan kemarahan seorang ketua.

Mengawal emosi ketika dimarahi
Anda dapat mengendalikan kemarahan atau emosi ketika dimarahi ketua dengan memberikan suntikan fikiran positif atau keyakinan tertentu dalam benak anda. Untuk itu cubalah tanamkan dalam hati bahawa ketua bukanlah ibu anda yang sentiasa menjaga anda seperti porselin Cina yang mudah retak. Ketua yang baik akan membuatkan anda menjadi pekerja yang profesional. Jadi layak jika dia bersikap cerewet dan tegas terhadap anda jika mengetahui ada sesuatu yang tidak kena dalam pekerjaan anda.

Atasi kecerewetannya
Kecerewetan ketua mesti diatasi kerana anda inginkan suasana kerja lebih mudah dan menyenangkan. Jika ketua yang cerewet didiamkan, anda akan merasakan pekerjaan anda semakin sulit dan tidak selesa.
Mungkin juga kerana terlalu kecewa akibat sering dimarahi secara melulu, ia mendorong anda melepaskan rasa marah di luar pejabat dengan melakukan perkara-perkara bertentangan. Mungkin juga anda mampu menyelesaikan pekerjaan itu dengan cepat dan baik tetapi kerana bosan dengan sikap ketua maka anda melakukan mogok kerja.

TIP

1) Tanamkan keyakinan
Sebagai orang bawahan anda harus menanamkan keyakinan bahawa anda boleh menerima kedudukan sebagai orang bawahan yang sedang dimarahi. Dengan keyakinan itu, anda akan terhindar daripada perasaan diri anda tidak ada kuasa dan tidak berguna.

2) Beri hukuman yang sama
Jika selama ini ketualah yang selalu menekan anda dengan kecerewetannya, anda juga berhak memberikan hukuman yang sama terhadapnya. Misalnya ketika dia marah-marah meminta sesuatu data kepada anda, katakan, "Jika puan marah-marah seperti ini, saya tidak dapat bekerja dengan tenang dan cepat sehingga puan sendiri tidak dapat data yang puan inginkan".

3) Hadapi dengan tenang
Ketua yang sedang cemas dan kelam kabut jika dihadapi dengan sikap tenang dapat membuatkannya merasa malu sendiri. Dia merasa kalah oleh orang bawahannya yang menunjukkan peribadi yang matang.

6 Cara Menghadapinya

1) Gunakan perkataan 'kami' sebagai kata ganti diri ketika dimarahi ketua. Perkataan kami dapat meletakkan masalah yang sedang dipersoalkan menjadi masalah syarikat. Ganti nama 'saya' akan meletakkannya sebagai masalah peribadi. Jika demikian, biasanya anda akan langsung merasa tidak percaya diri apabila dimarahi. Jika anda meyakini bahawa kemarahan ketua akibat kesalahan anda, namun ketua juga akan memarahi anda demi kepentingan organisasi.

2) Tarik nafas dalam-dalam sebelum masuk ke bilik ketua tetapi jangan melakukan saat berada di hadapannya kerana hal ini boleh menyinggung perasaannya. Menarik nafas dapat membuat otak menjadi rehat dan kemudiannya mampu mempengaruhi ketenangan ketika berfikir.

3) Alihkan emosi anda ke arah sesuatu yang positif dengan kebiasaan anda. Misalnya saat dimarahi ketua, duduk dengan tenang. Namun untuk mengalihkan emosi marah anda, cubalah melakukan sesuatu di bawah meja misalnya bermain-main dengan pen atau menganggukkan kepala.

4) Kawal bahasa tubuh dan air muka untuk mencipta suasana positif. Maknanya anda menerima kemarahan ketua tanpa harus berkata apa-apa. Cukup dengan menganggukkan kepala. Ini merupakan bahasa tubuh yang semulajadi.

5) Jangan menyiram minyak dalam api untuk membesarkan kemarahan dengan memotong percakapan ketua. Jangan pula menjawab pertanyaan dengan meninggikan suara. Berikan jawapan dengan suara lebih rendah dari nada suara ketua anda.

6) Segera kumpulkan data yang berkaitan dengan masalah yang dipersoalkan oleh ketua lalu tulis data hasil penemuan anda melalui surat dan berikan kepada pihak atasan. Komunikasi tulisan berisi maklumat yang sebenarnya ini dapat memperbaiki hubungan peribadi antara ketua dan orang bawahannya.

Tuesday, November 24, 2009

Peribadi Menarik Senangkan Rakan Sekerja

Siapa yang tidak ingin memiliki keperibadian yang menarik dan disenangi oleh semua orang? Siapa pula yang tidak senang dikagumi oleh ramai orang apalagi di tempat kerja berikut beberapa langkah dan latihan yang dapat diikuti:

Gaya bicara positif
Gaya bicara negatif atau merendah diri akan menempatkan anda kurang punya rasa rendah diri. Contoh gaya bicara negatif ialah dengan menggunakan label-label seperti tolol, tidak punya otak dan sebagainya.
Untuk menjadi individu berkeyakinan, gaya bicara negatif harus digantikan dengan gaya bicara positif. Gunakan perkataan yang baik tentang diri sendiri. Misalnya, saya seorang yang berkeyakinan, saya bijak, saya boleh buat dan sebagainya.

Berani bertanggungjawab
Anda harus berani menerima kenyataan dan bertanggungjawab di atas apa yang berlaku. Keberanian menjadikan anda lebih yakin untuk berhadapan dengan perkara yang lebih besar.

Seorang yang dinamik
Seorang yang berperibadi dinamik biasanya memiliki kemahiran mengungkapkan perasaan dengan tegas. Bagaimanapun mereka tidak menunjukkan gaya sombong, angkuh dan bongkak sebaliknya berbicara ramah dan lemah lembut.

Bicara dengan optimis
Seorang yang optimis mampu menunjukkan sorot mata dan tingkah laku yang berwibawa melalui penampilan diri yang anggun, 'rapid' dan bersih. Pelajari etika pergaulan yang baik di tempat kerja. Asah keterampilan dengan menggunakan bahasa 'verbal' dan 'non-verbal'. Bahasa 'verbal' yang efektif ialah dengan mengelakkan daripada menggunakan kata-kata dan suara yang tidak perlu misalnya: e..e, ceh, amboi-amboi! Apabila diminta membuat keputusan, buatlah berdasarkan fakta bukan perasaan semata-mata. Jika anda sedang bercakap dengan orang bawahan tumpukan kepada apa yang diperkatakannya. Tunjukkan perhatian dengan menanyakan mengenai keadaan orang yang ajak bicara misalnya wajahnya nampak pucat hari itu. Bahasa 'non-verbal' yang mengesankan meliputi ekspresi yang penuh semangat serta berbusana sopan dan tampak profesional.

Kembangkan Pengetahuan
Pengetahuan yang luas membolehkan anda tampil lebih wibawa dan percaya diri sendiri. Anda juga digalakkan mencarialternatif-alternatif penyelesaian untuk pelbagai permasalahan. Institusi memang penting tetapi membuat keputusan berdasar fakta lebih membantu dalam mewujudkan keyakinan diri untuk tampillebih positif. Dapatkan informasi tentang hal-hal yang sedang berlaku samada melalui televisyen, akhbar, majalah, mahupun internet.

Sedia Terima Perubahan
Bersikap fleksibel dan positif terhadap pelbagai perubahan. Tunjukkan sikap terbuka dengan perubahan yang berlaku dalam syarikat atau jabatan. Jangan berfikiran negatif dengan mengungkapkan kata-kata seperti, "Bosan betul dengan peraturan baru syarikat ni, menyusahkan sahaja!". Anggap perubahan yang ada dengan sikap optimis.

Tip menjadi Pekerja Efektif

1) Fahami hasrat dan cita-cita jabatan/syarikat
Jika anda kurang faham mengenai hasrat dan cita-cita syarikat, temui ketua yang lebih kanan dalam jabatan tersebut dan bertanya kepadanya. Patuhi juga arahan dan peraturan yang ditetapkan.

2) Mengikut jadual kerja yang ditetapkan
Setiap pekerja mempunyai jadual kerja samada ditentukan oleh ketua atau diri sendiri. Jadual kerja membantu anda menyelesaikan tugas dengan lancar. Jangan menangguhkan kerja dengan alasan tidak sesuai.

3) Berfikir secara kritis dan positif
Fikirkan tugas yang diberi secara kritis tetapi membina. Jika tidak mahir melakukan jumpa dengan ketua dan jelaskan masalah anda. Anda tidak perlu berpura-pura pandai untuk melakukannya, padahal hasilnya nanti begitu mengecewakan.

4) Hormati pandangan orang bawahan
Dalam mesyuarat, terimalah pendapat orang bawahan anda jika pendapat tersebut dapat membantu meningkatkan kualiti dan produktiviti. Apabila pandangan mereka memang tidak bernas untuk diterima, tolak dengan baik, bukan mempersendakannya.

5) Tidak mencari kesalahan orang lain
Jika ditegur kerana melakukan kesilapan, jangan tudingkan jari ke arah orang lain. Terima teguran dengan hati terbuka dan berfikiran positif. Jadikan ia sebagai panduan di masa akan datang.

6) Bekerjasama dengan pekerja lain
Bimbing dan bantu pekerja baru walaupun pihak atasan tidak mengarahkan anda berbuat begitu. Hindari perasaan cemburu apabila melihat kebolehan mereka.

7) Hormati kedudukan rakan sekerja
Hormati kedudukan rakan-rakan lain mengikut jawatan dan pangkat mereka. Mereka masih sahabat anda, tetapi mungkin dia ketua atau penyelia anda.

Sunday, November 22, 2009

5 Cara kurangkan stress di pejabat

Tidak dinafikan bebanan tanggungjawab di pejabat kadangkala memberi tekanan kepada kita terutama sekali wanita yang berumahtangga. Ada kalanya tekanan tersebut terbawa-bawa ke rumah dan jika gagal dikawal, hubungan kekeluargaan akan terganggu.

Waktu pejabat yang biasa antara jam 9 pagi hingga 5 petang dirasakan kurang urusan pejabat. Waktu kerja yang panjang secara tidak langsung amat memenatkan fizikal dan mental. Bagaimana anda boleh membantu diri sendiri bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi? Ikuti panduan berikut agar dapat dimanfaatkan bersama agar hari-hari yang mendatang dapat diharungi dengan jiwa yang tenang.

Makan tengahari
Sebelum keluar untuk makan tengahari, duduk sebentar dengan mata terpejam sambil menarik dan menghela nafas secara perlahan-lahan. Tolak ke tepi sebarang masalah kerja yang membebani fikiran dan keluar daripada ruang pejabat yang tertutup untuk mendapatkan udara segar. Elakkan sebarang perbincangan yang berkaitan dengan pejabat yang tertutup untuk mendapatkan udara segar. Elakkan sebarang perbincangan yang berkaitan dengan pejabat sebaliknya carilah topik yang ringan serta menarik perhatian seperti bagaimana meningkatkan penampilan diri agar kelihatan cantik, bergaya dan meyakinkan.

Menguruskan waktu dengan bijak
Majikan yang baik akan sentiasa memastikan pekerjanya berasa senang ketika bekerja bagi memastikan kualiti dan produktiviti terus meningkat. Jika anda diberi kebebasan menguruskan masa bekerja, pastikan anda mengatur jadual kerja dengan baik agar dapat menyeimbangi tugasan yang diamanahkan. Perbincangan dengan ketua harus dilakukan dan pastinya tanggungjawab yang diberi dapat dilaksanakan sebagaimana yang dikehendaki.

Amalkan pergerakan ringan sebelum ke pejabat
Budaya baik ini dapat kita saksikan dalam kebanyakan syarikat-syarikat Jepun. Sebelum memulakan kerja di pejabat pekerja digalakkan melakukan pergerakan ringan seperti meregangkan otot tangan, kaki dan jari. Otot-otot kaki yang diregangkan akan mengarah peredaran darah ke jantung dan mengepamnya ke seluruh tubuh badan. Tindakan ini membolehkan badan kembali bertenaga.

Bergembira sepanjang cuti di hujung minggu
Cuti hujung minggu sememangnya masa yang paling sesuai untuk kita membebaskan diri daripada memikirkan soal kerja. Selepas solat subuh ambil kesempatan ini untuk melakukan senaman ringan seperti berjoging atau berbasikal mengelilingi kawasan perumahan atau taman berhampiran sambil menghirup udara segar. Aktiviti ringan ini mampu meningkatkan kadar pengeluaran hormon endorphin yang dapat membantu anda berasa nyaman, tenang dan bersemangat semula. Bersarapan pagi dengan hidangan yang menyelerakan dan jika boleh sediakan sendiri sarapan kerana pada hari biasa anda tidak berkesempatan untuk melakukannya kerana kesuntukan masa. Ini adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan. Anda juga boleh bermeditasi sebentar selama 15-20 minit dalam bilik yang diharumi wangian aromaterapi.

Kekalkan hubungan baik sesama rakan sepejabat
Kadangkala tekanan turut dirasai apabila anda gagal menjalinkan hubungan baik dengan rakan sepejabat. Atasi masalah ini dengan cara mengelak sebarang perkara yang memungkinkan hubungan anda terjejas. Berkomunikasilah dengan berhikmah samada anda ingin menegur, memberi nasihat atau berbual-bual. Jauhkan segala sifat negatif seperti mengumpat, memfitnah, meninggi diri dan sebagainya. Islam sendiri menggalakkan umatnya melakukan kebaikan dan meninggalkan larangannya. Paling penting sentiasa ingat bahawa Tuhan ada bersama-sama hambanya yang dalam kesusahan. Berdoa dan bertawakal adalah jalan paling berkesan mengurangkan rasa tertekan.