Saturday, April 17, 2010

Larangan Minum Cara Keldai

Minum adalah perkara yang selalu dipandang remeh. Umat Islam kelihatan bersahaja ketika minum. Saling tak tumpah seperti gaya orang-orang barat, minum sambil berdiri sudah menjadi perkara biasa apatah lagi memegang gelas atau cawan dengan tangan kiri.
Minum berdiri agak boleh diterima kalau sekiranya di sekitar tempat jamuan itu tiada kerusi atau tempat duduk atau kawasan itu tidak sesuai untuk duduk. Tapi apa halnya dengan tangan kiri, di mana tangan kanannya? Bukankah sesuatu yang baik itu diminta dilakukan dengan tangan kanan. Minum tentulah kerja baik maka wajarlah menggunakan tangan kanan.
Selain itu ada satu lagi budaya yang tidak seharusnya ada pada umat islam iaitu minum secara sekali gus atau sekali hirupan. Sebenarnya, Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam agar tidak bernafas di dalam cawan atau gelas air. Maknanya, Islam menganjurkan umatnya minum dengan berdikit-dikit. Apabila hendak bernafas hentikan minuman. Setelah itu minum lagi sehingga selesai.
Larangan ini adalah untuk menjamin kesihatan umat Islam agar terus selamat. Sesungguhnya pernafasan di dalam air mengeluarkan karbon, maka jadilah air itu bercampur karbon. Ini bermakna air yang diminum telah bercampur karbon. Kalau ini terjadi maka kesihatan umat Islam akan terjejas.
Selain dua perbuatan tadi ada satu lagi perbuatan yang tidak disukai oleh Islam iaitu makan dan minum bersendirian. Keadaan ini tidak digalakkan. Hatta apabila hendak minum air pun diminta bersama yang lain secara berjemaah.
Daripada Ibnu Abbas r.a., katanya Rasulullah bersabda: " Janganlah kamu minum seorang diri seperti minum keldai tetapi minumlah berdua dan bertiga. Dan bacalah Bismillah apabila kamu minum dan ucapkanlah alhamdulillah apabila kamu selesai minum (riwayat al Tarmizi)
Minum cara keldai ini boleh dilihat pada banyak sudut. Ia minum berdiri, menyedut tanpa henti dan minum bersendiri. Inilah yang tidak seharusnya dilakukan oleh orang Islam sebagaimana yang dijelaskan di atas. Tetapi yang lebih penting dari itu ialah keldai sudah pastinya tidak membaca doa ketika hendak minum dan begitu juga setelah selesai minum.
Inilah yang patut membezakan umat Islam dengan orang lain. Adab yang dianjurkan oleh Islam itu sudah cantik dan mesti terus dihayati. Didiklah anak-anak sejak kecil agar tidak meniru gaya minum seperti keldai ini!