Sunday, November 22, 2009

5 Cara kurangkan stress di pejabat

Tidak dinafikan bebanan tanggungjawab di pejabat kadangkala memberi tekanan kepada kita terutama sekali wanita yang berumahtangga. Ada kalanya tekanan tersebut terbawa-bawa ke rumah dan jika gagal dikawal, hubungan kekeluargaan akan terganggu.

Waktu pejabat yang biasa antara jam 9 pagi hingga 5 petang dirasakan kurang urusan pejabat. Waktu kerja yang panjang secara tidak langsung amat memenatkan fizikal dan mental. Bagaimana anda boleh membantu diri sendiri bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi? Ikuti panduan berikut agar dapat dimanfaatkan bersama agar hari-hari yang mendatang dapat diharungi dengan jiwa yang tenang.

Makan tengahari
Sebelum keluar untuk makan tengahari, duduk sebentar dengan mata terpejam sambil menarik dan menghela nafas secara perlahan-lahan. Tolak ke tepi sebarang masalah kerja yang membebani fikiran dan keluar daripada ruang pejabat yang tertutup untuk mendapatkan udara segar. Elakkan sebarang perbincangan yang berkaitan dengan pejabat yang tertutup untuk mendapatkan udara segar. Elakkan sebarang perbincangan yang berkaitan dengan pejabat sebaliknya carilah topik yang ringan serta menarik perhatian seperti bagaimana meningkatkan penampilan diri agar kelihatan cantik, bergaya dan meyakinkan.

Menguruskan waktu dengan bijak
Majikan yang baik akan sentiasa memastikan pekerjanya berasa senang ketika bekerja bagi memastikan kualiti dan produktiviti terus meningkat. Jika anda diberi kebebasan menguruskan masa bekerja, pastikan anda mengatur jadual kerja dengan baik agar dapat menyeimbangi tugasan yang diamanahkan. Perbincangan dengan ketua harus dilakukan dan pastinya tanggungjawab yang diberi dapat dilaksanakan sebagaimana yang dikehendaki.

Amalkan pergerakan ringan sebelum ke pejabat
Budaya baik ini dapat kita saksikan dalam kebanyakan syarikat-syarikat Jepun. Sebelum memulakan kerja di pejabat pekerja digalakkan melakukan pergerakan ringan seperti meregangkan otot tangan, kaki dan jari. Otot-otot kaki yang diregangkan akan mengarah peredaran darah ke jantung dan mengepamnya ke seluruh tubuh badan. Tindakan ini membolehkan badan kembali bertenaga.

Bergembira sepanjang cuti di hujung minggu
Cuti hujung minggu sememangnya masa yang paling sesuai untuk kita membebaskan diri daripada memikirkan soal kerja. Selepas solat subuh ambil kesempatan ini untuk melakukan senaman ringan seperti berjoging atau berbasikal mengelilingi kawasan perumahan atau taman berhampiran sambil menghirup udara segar. Aktiviti ringan ini mampu meningkatkan kadar pengeluaran hormon endorphin yang dapat membantu anda berasa nyaman, tenang dan bersemangat semula. Bersarapan pagi dengan hidangan yang menyelerakan dan jika boleh sediakan sendiri sarapan kerana pada hari biasa anda tidak berkesempatan untuk melakukannya kerana kesuntukan masa. Ini adalah salah satu aktiviti yang menyeronokkan. Anda juga boleh bermeditasi sebentar selama 15-20 minit dalam bilik yang diharumi wangian aromaterapi.

Kekalkan hubungan baik sesama rakan sepejabat
Kadangkala tekanan turut dirasai apabila anda gagal menjalinkan hubungan baik dengan rakan sepejabat. Atasi masalah ini dengan cara mengelak sebarang perkara yang memungkinkan hubungan anda terjejas. Berkomunikasilah dengan berhikmah samada anda ingin menegur, memberi nasihat atau berbual-bual. Jauhkan segala sifat negatif seperti mengumpat, memfitnah, meninggi diri dan sebagainya. Islam sendiri menggalakkan umatnya melakukan kebaikan dan meninggalkan larangannya. Paling penting sentiasa ingat bahawa Tuhan ada bersama-sama hambanya yang dalam kesusahan. Berdoa dan bertawakal adalah jalan paling berkesan mengurangkan rasa tertekan.

No comments:

Post a Comment

http://formsmarts.com/form/bxo